"Bersama berkhidmat untuk ummah. '' Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat '' -al hadith-

Wednesday, 13 February 2013

JOM MUHASABAH DIRI



 بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه واتبع هداه
    Kali ini saya ingin membawa sedikit artikel yang saya kira sangat memberi motivasi dan pengajaran kepada kita betapa hebatnya akhlak para ulama dahulu. Kenapa nak bawa? Kenapa mereka? Kerana merekalah pewaris para anbiya, dan nabi -sallallah alaih wasallam- pernah bersabda:

إن العلماء ورثة الأنبياء إن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما إنما ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر (رواه الترمذي وغيره)
 Maksudnya: Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi (anbiya), dan sesungguhnya para nabi itu tidak mewarisi dinar dan juga tidak mewarisi dirham (tidak mewarisi harta), Sesungguhnya mereka (para nabi) itu hanyalah mewarisi ilmu, maka barangsiapa yang mengambilnya dia telah mengambil suatu peluang yang sangat besar. (Hadith riwayat Tirmizi dan selainnya)

    Inilah artikel yang dimaksudkan hasil coretan ustaz Dr Hj Zahazan, seorang ustaz yang saya kira sangat memberi manfaat besar dalam dunia dakwah di Malaysia dengan kelas tafsirnya di radio IKIM, rancangan Jejak Rasul, Penasihat Telaga Biru dan telah berjaya mengeluarkan majalah-majalah islamik yang sangat ilmiah dan juga buku-buku agama yang sangat bermanfaat, moga Allah meramaikan lagi seorang ustaz seperti ustaz Dr Hj Zahazan insyaAllah. Saya memetiknya dari facebook beliau yang saya rasa anda semua pasti ketahui. 

Jom baca J

Mereka melihat dengan mata hati, kami melihat dengan mata nafsu ...

    Pada suatu hari, al Imam Ash Shafi'e duduk bermuzakarah dengan gurunya,pakar fiqh ulama besar dan terbilang dalam mazhab Hanafi,iaitu al Imam Muhammad bin Hasan al Syaibani, tiba-tiba tampil seorang yang asing ke dalam masjid. Imam Al Syaibani bertanya kepada anak murid yang disayanginya,pada hematmu apakah kerjanya hamba Allah itu? Shafi'e ra menjawab; mungkin dia bekerja sebagai tukang kayu. Al Syaibani berkata, aku merasakannya seorang guru. 

    Tak lama kemudian selepas solat, seorang muslim yang asing tampil ke hadapan dua orang tuan guru ini memperkenalkan dirinya, bahawa dia orang asing di Baghdad, sebelumnya dia adalah tukang kayu di sebuah kampung yg terpencil, tapi akhirnya menghargai ilmu yang ada, dia bertekad mengubah kepada profession yang baru iaitu utk menjadi guru di sebuah sekolah di Baghdad yang dibangunkan oleh seorang saudaranya .
(Petikan dari kitab ash Shafi'e oleh al Imam Abu Zuhrah )

  • SubhanalLah !!! Mereka mempunyai firasat ( pandangan mata hati ) yg tepat hasil dari riyadhah ruhaniyyah ( pendidikan ruhani yg konsisten & mujahadah ) 

"Ya Allah kurniakan utk kami murabbi yg mursyid yang dapat menunjukkan kami jalan keredhaanMu utk keselamatan dunia & akhirat kami ".. 

Gambar di bawah hanyalah hiasan ; kuliah tafsir di masjid Rusila, Marang, oleh Tn Guru Dato Seri Hj Ab Hadi Awang,dihadiri oleh ribuan muslimin termasuk mantan mufti Perlis yg juga naqib kami masa di Kisas, Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


Ulasan saya (blogger):

    MasyaAllah hebatnya ustaz Dr Asri hadir kuliyah Tuan Guru Hj Hadi Awang, inilah akhlak para ulama yang diwarisi, walaupun kedua-dua mereka orang yang berilmu tetapi mereka boleh datang majlis ilmu ulama lain walaupun pelbagai tomahan dan cercaan yang dilemparkan kepada ustaz Dr Asri (MAZA), saya tak nak komen tentang hal tersebut, bukan MAZA sahaja, malah hampir ramai ustaz-ustaz yang famous (termasuk ustaz Zahazan, Tuan Guru Hj Hadi) tidak terkecuali mesti ada yang diaibkan, atau dicari kekurangan dan kesilapan mereka.

     Inilah musibah zaman sekarang orang tak nak ambil faedah daripada ulama orang dah mula nak menilai dan komen serta memberi pandangan buruk kepada ulama. Terimalah padahnya orang-orang yang ringan mulut mencaci para ulama.


Jangan Menyebut Aib, Mencerca, Mengutuk Para Ulama

Al Imam al Hafiz Ibnu A'sakir rahimahullah salah seorang ulama besar hadith dan sejarah, yang telah mengarang puluhan kitab-kitab muktabar dalam ilmu Islam, pernah berkata:
"Ingatlah wahai saudaraku moga engkau dirahmati Allah Taala, bahawa barangsiapa yang menggunakan lidahnya untuk menyebut kekurangan dan aib para ulama, maka Allah Taala akan membalasnya dengan mematikan hatinya sebelum datang kematiannya yang sebenar".

"Ya Allah jadikanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang berakhlak mulia ameen "

Semoga kita mengambil i'brah dan pengajaran daripada kisah di atas.
Wallahu a'lam.

Tuesday, 12 February 2013

PERBAHASAN ULAMA DALAM BAB BASMALAH DAN HAMDALAH




بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه وبعد

PERKONGSIAN BUAT PENCINTA ILMU FIQH

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat yang sudi menziarahi blog, moga anda semua sihat wal'afiyat dan semoga Allah Taala sentiasa memudahkan segala urusan yang anda lakukan serta memberkati anda dan seluruh umat Islam.

Berkata pengarang matan Safinatun naja' Sheikh Salim bin A'mir Al Hadramy:

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين
InsyaAllah dengan izin Allah, dalam entry kali ini saya akan berkongsi dengan anda beberapa perbahasan fiqh yang dipetik daripada kitab Nailur Raja' Syarh Safinatun Naja' oleh al habib Ahmad al Shatrie rahimahullah. 

Antara bab yang akan saya kupas:

a)    Hukum hakam yang berkaitan dengan pembacaan basmalah (saya telah kupas serba sedikit berkenaan basmalah dalam post lepas)
b)    Perbahasan berkenaan lafaz hamdalah :
      Alhamdulillahi rabbil a'lameen atau dalam bahasa Arabnya '' الحمد لله رب العالمين  '' ucapan ini selalu kita sebut tetapi adakah kita memahami dan menghayati apakah tafsiran di sebalik lafaz yang agung ini? InsyaAllah saya akan kongsikan dengan anda.
Mungkin ada yang bertanya siapakah al habib Ahmad al Shatrie yang mengarang kitab ini? Mungkin juga ada di kalangan kita yang akan juga bertanya apakah kitab yang saya sebutkan sebentar tadi? Adakah kitab ini sangat penting kepada kita? InsyaAllah dalam post akan datang saya akan usaha untuk mengupas berkenaan kitab ini dan pengarangnya dengan izin Allah, mohon doa anda semua jazakumullah kher.

Fuqaha telah menyimpulkan bahawa bagi basmalah (bismillahirrahmanirrahim) itu terdapat lima hukum :


  • WAJIB
Bila masakah wajib membaca basmalah? Basmalah menjadi wajib seperti dalam solat. Ini adalah kerana dalam mazhab shafi'e basmalah adalah salah satu daripada ayat al fatihah dan kita semua sedia maklum bahawa antara rukun solat ialah al fatihah maka apabila wajib kita membaca al fatihah dalam solat hukum membaca basmalah menjadi wajib.


  • HARAM
Hukum membaca basmalah menjadi haram apabila kita ingin membacanya untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah Taala seperti seseorang yang ingin membaca bismillah untuk minum arak maka hukum bacaannya itu adalah haram kerana hukum minum arak adalah haram dan merupakan antara larangan Allah Taala seperti yang telah disebutkan dalam Al Qur'an dan sunnah.


  • SUNAT
Hukum membaca basmalah menjadi sunnah apabila kita ingin melakukan apa sahaja perkara atau kerja atau aktiviti kebaikan iaitu pekerjaan yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul seperti kita nak berwudhu', nak menulis buku atau penulisan yang baik dan sebagainya.


  • MAKRUH
Hukum membaca basmalah menjadi makruh apabila kita ingin melakukan sesuatu yang makruh dalam syari'at seperti melihat sesuatu yang dimakruhkan.


  • HARUS
Hukum membaca basmalah adalah harus apabila kita ingin melakukan perkara-perkara yang harus iaitu yang dibolehkan syarak seperti nak memindahkan barang atau seumpamanya.

Jika ada peluang lain, nanti saya akan bawa kupasan ulama yang lebih mendalam dalam bab basmalah serta kelebihan dan khasiat yang telah disebutkan oleh para ulama InsyaAllah.

Bab kedua yang akan saya sentuh dan ini adalah fokus dalam post kali ini kerana perbahasan ini adalah jauh lebih mendalam dari bab basmalah iaitu bab hamdalah.

Seperti biasa cara saya untuk memudahkan anda membaca, saya akan susun perbahasan dalam bentuk nota kerana jika semuanya dalam perenggan kemungkinan membosankan anda atau lambat untuk difahami. Saya cuba dan sebarang komen dan teguran boleh anda tinggalkan di ruang yang disediakan.


  • Setiap sesuatu mesti ada takrif kerana dengan takrif kita akan memahami apakah yang dimaksudkan dengan suatu perkataan atau mustolah. Kayanya bahasa Arab kerana tidak ada satu mustolah atau perkataan melainkan ada maksud dan takrif oleh pakar bahasa (ulama lughah) dan ulama-ulama bidang-bidang tertentu. Tidak boleh kita mulakan sesuatu melainkan kita memberi takrifnya terlebih dahulu.

Cuba kita perhatikan berapa perkataan terdapat dalam ayat hamdalah di atas? Jika jawapan anda empat ya betul anda bijak sekali dan saya saja nak menimbulkan soalan kerana saya akan bawakan takrif dan huraian untuk setiap empat perkataan tersebut dan ini semua daripada ulama bukan dari saya.

Pengertian alhamdu (الحمد)

Alhamdu dari segi bahasa
Pujian dengan lisan (mulut) atas kurniaan (Allah) yang sangat indah dan sempurna yang telah dipilih.


  • Yang dimaksudkan dengan dimaksudkan dengan sangat indah dan sempurna ialah apa yang berlawanan dengan buruk dan cacat dan yang dimaksudkan dengan yang dipilih itu ialah kurniaan Allah Taala kepada kita dengan pilihan kita dan taufiq daripada Allah, kerana kurniaan Allah yang dipuji itu sesuatu yang baik dan apabila kita berusaha melakukan suatu kebajikan kemudian Allah memberi taufiq kepada kita seperti akhlak yang baik, keberanian, kemuliaan semua itu Allah Taala kurniakan dengan taufiq Allah dan juga dengan usaha kita maka itulah pilihan yang dimaksudkan di sini.

Dari segi istilah alhamdu bermaksud: 
Perbuatan yang terlahir untuk mengagungkan kebesaran Pemberi nikmat (Allah) kerana dia merupakan pemberi nikmat kepada yang memuji atau selainnya.

Alhamdu berbeza dengan ath thana'

Tidak termasuk daripada takrif apa yang terkeluar daripada huraian takrif yang disebutkan di atas. Pujian alhamd tidak sama dengan pujian ath thana' (الثناء) kerana pujian alhamdu adalah pujian khas daripada yang dicipta kepada yang Maha Pencipta manakala pujian ath thana' ialah pujian biasa seseorang kepada sesuatu seperti dia memuji berlian yang sangat cantik maka dia tidak memuji dan mengagungkan berlian sepertimana dia memuji Allah yang memberi nikmat kepadanya.

Beza alhamdu dengan asy syukr (الشكر)


  • Alhamdu dari segi istilah 

Merupakan takrif syukur dari segi bahasa kerana ianya merupakan suatu yang lahir untuk mentakzimkan pemberi nikmat - iaitu Allah Taala– kerana Allah yang memberi nikmat kepada orang yang sedang bersyukur atau selainnya.

Takrif syukur dari segi istilah ialah:
 Seorang hamba menggunakan segala nikmat Allah Taala kepadanya untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala kerana itulah tujuan dia diciptakan.


  • Makna ar Rabb (الرب) ialah pemilik (المالك) dan di sana terdapat banyak lagi maksud selain yang disebutkan.


  • Al A'lameen (العالمين) bermaksud sekalian manusia, jin dan malaikat.

Maksud lafaz Alhamdulillah rabbil a'lameen secara keseluruhan :

"Pujian dengan lisan di atas kurniaan yang telah dipilih oleh pengurnia (lafaz untuk mengagungkan Allah) yang memiliki semua yang diciptakan daripada sekalian manusia, jin dan para malaikat."


  • Bagi alhamdu para ulama mengatakan terdapat 5 rukun,:
a)    Al Hamid (الحامد)
     Orang yang memuji
b)    Al Mahmud (المحمود)
     Yang dipuji iaitu Allah SWT
c)    Mahmud bih (محمود به):
     Sesuatu yang dipuji dengannya, misalnya lidah (mulut)
d)    Mahmud 'alaih (محمود عليه): 
     Sebab berlaku pujian, iaitu nikmat yang dikurniakan
e)    Sighoh (صيغة)
    Iaitu lafaz ucapan pujian, seperti seseorang menyebut Alhamdulillah

  • Ulama menghuraikan lagi berkenaan alhamdu ini bahawa ianya terbahagi kepada empat bahagian:
a)    Alhamdu daripada qodim (القديم) kepada qodim
    Iaitu bermaksud pujian Allah Taala terhadap dirinya seperti firman Allah Taala:
ﯮ  ﯯ  ﯰ  ﯱ  ﯲ  
            Maksudnya: Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong            (surah al Anfal: 40)

b)    Alhamdu daripada qodim kepada hadith (الحادث): 
     Iaitu pujian Allah Taala kepada sebahagian hamba-hambaNya, seperti firman Allah:
ﮀ  ﮁ  ﮃ     ﮄ   ﮅ 
Maksudnya: Dia (Sulaiman) sebaik-baik hamba, sesungguhnya dia Seorang yang sangat taat. (surah Sod: 30)
c)    Alhamdu daripada hadith kepada qodim
     Iaitu pujian kita kepada Allah Taala seperti lafaz ucapan kita 'alhamdulillah'.
d)    Alhamdu daripada hadith kepada hadith
     Iaitu pujian kita kepada manusia seperti kita katakan Zaid itu sebaik-baik lelaki.

Sedikit huraian: 

Maksud qodim dan hadith dalam pembahagian alhamdu di atas


  • Qodim yang dimaksudkan di atas ialah suatu yang bersifat lama dan tak pernah dilahirkan , yang memang wujud sejak azali dan tidak ada yang meng'ada'kannya dan Dialah yang menciptakan segalanya dan mewujudkan segalanya di muka bumi dan di alam ini. Itulah salah satu sifat wajib bagi Allah Taala. Manakala hadith pula merujuk kepada hamba-hamba Allah, kerana hamba bersifat baru, diciptakan oleh Allah, bukan yang wujud sejak sekian lama, dan sifat hadith ini adalah sifat yang mustahil bagi Allah Taala.
Rumusan 

Sekadar ini sahaja kalam al habib hanya mensyarahkan bismillah dan hamdalah. Saya sendiri banyak yang baru tahu bila belajar kitab ni subhanallah jahilnya saya. Tapi habib Hassan Al Kaff baru-baru ini pernah menasihati bahawa jangan sekali-kali kita putus asa dalam menuntut ilmu walaupun untuk memahami sesuatu memakan masa bertahun-tahun, itulah ilmu bukan kamu sahaja yang merasainya malah orang sebelum kamu juga merasainya, yang penting kamu belajar dan teruskan belajar jangan lemah semangat menuntut ilmu.

Subhanallah kalam habib memang banyak memberi diri ini semangat dan kekuatan. 
Moga sahabat-sahabat juga mendapat manfaat dari nasihat habib. 
Mohon teguran, nasihat dan tunjuk ajar daripada teman-teman.

Wallahu a'lam bessawab. 

NASIHAT & TEGURAN BIARLAH KENA DENGAN CARANYA



بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه 


Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah Taala, moga anda semua sihat wal'afiyat. InsyaAllah dalam entry kali ini saya hanya sentuh secara ringkas berkenaan fiqh dakwah dan semoga nasihat ini memberi manfaat kepada kita semua InsyaAllah.

Amar ma'ruf nahi munkar

   Mengajak kebaikan itu wajib seperti mana wajib membuat kebaikan dan menegah kemungkaran itu wajib seperti mana wajib meninggalkan kemungkaran itulah apa yang dinamakan amar makruf dan nahi mungkar.

cara-caranya


  •     Ulama mengajar kita bagaimana kita nak laksanakannya dan untuk melaksanakannya hendaklah dengan ilmu dan dan berhikmah. Jika kita terlalu keras/syadid dalam berdakwah maka orang-orang yang didakwah akan terus jauh dari dakwah kita walau banyak mana ilmu kita. 


  •     Islam menyuruh kita menegur kesilapan tetapi Islam tak mengajar untuk menegur di khalayak ramai dan jelas siapa yang ditegur. Teguran yang ikhlas hendaklah disembunyikan dan berlaku antara pihak yang menegur dan ditegur secara 'personal'. Ini adalah kerana jika teguran terhadap seseorang itu dikhalayak ramai bermakna kita telah menjatuhkan maruah orang tersebut dan ini adalah perbuatan yang dikeji. 
kesimpulan 

    Ia berbeza dengan mengajak kebaikan iaitu kita disuruh untuk menyampaikan dan disebarkan malah orang yang berbuat baik pun tidak salah untuk kita sebarkannya seperti mana para ulama kita memuji guru-guru mereka. Tidak semestinya seseorang itu perlu untuk menjadi hebat seperti mufti atau baik seperti sahabat untuk menyebarkan dan menyampaikan dakwah, masing-masing dengan tahap masing-masing tetapi wajib dipelajari dan merujuk para ulama. 

    Tanpa mengira siapa kita, jom sama-sama kita sebar-sebarkan MAHABBAH, mengeratkan talian ukhuwah antara kita, jauhkan api permusuhan dan persengketaan, kita semua sama, yang membezakan kita hanya TAQWA di sisi Allah, dan doakan semua saudara Islam kita. InsyaAllah rahmat, taufiq, barakah, pertolongan Allah itu akan datang menemani kita. 

Wallahu a'lam bessawab.

NASIHAT BERHARGA DARI SHEIKH SAYYID SHALTUT KEPADA PENUNTUT ILMU


بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه
Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, moga anda semua sihat dan ceria bersama keluarga dan rakan-rakan di mana jua anda berada. Alhamdulilah kali ini saya berkesempatan untuk berkongsi dengan anda beberapa nasihat daripada ulama Mesir yang saya catat sewaktu dalam kelas beliau di masjid Al Azhar Kaherah.

Nasihat-Nasihat Emas daripada yang mulia Sheikh sayyed shaltut

Antara nasihat2 emas daripada yang mulia Sheikh Sayyed Shaltut dalam kelasnya malam tadi berkenaan Usul Fiqh (syarah matan waraqat al juwayni):

a) Paling penting bagi orang yang menuntut ilmu ialah manhaj.


  • mempelajari manhaj ilmu itu melalui lisan guru2 mereka dalam kelas2, dan dengan manhaj itu akan membentuk sahsiah orang yang menuntut ilmu, malah apabila ilmu itu sudah matang dalam dirinya, dia mampu mengaitkan suatu ilmu dengan ilmu2 yang lain.

  •  Apabila kita mempelajari kitab2 turath para ulama, kita sebenarnya mengambil manhaj mereka dalam ilmu tersebut, kata Sheikh rasailah manhaj mereka, fahami dan kuasai, bukannya zaman dan masa mereka (sebab zaman berubah2, zaman sekarang tak seperti zaman dahulu)

b) Mempraktik agama dengan menguasai ilmu suatu yang berbeza,


  •  Bukan semua orang yang mempraktik agama itu berilmu, mempraktik agama memang kewajipan tapi ilmu dan ulama suatu perkara yang lebih luas daripada mempraktik agama (jawapan kepada mereka yang hanya bangga cukup amalan mereka solat 5 waktu di masjid dan janggut panjang serta berjubah dah cukup hebat, rasa lagi hebat dari ulama2 dan sibuk mencari kekurangan ulama, tak belajar, dan hina2 mereka)

  • Contohilah ulama2, ambillah akhlak mereka sebagai perhiasan diri, jangan berkata buruk tentang ulama, ulama2 hebat semuanya bekerja dalam diam, tak nak orang ramai tahu khidmat mereka, mereka bersabar dalam mendidik, memberi ilmu, dan layak dipuji oleh anak2 murid walaupun mereka tak pernah minta untuk dipuji, dan mereka orang yang paling banyak dikutuk oleh musuh2 mereka, tapi kesan mereka akan kekal selepas ketiadaan mereka, dan suara2 kutukan musuh2 mereka akan pergi menghilang seolah2 tak dikenali.

  •  Penting bagi setiap yang mempelajari ilmu untuk mengetahui pengenalan ilmu kerana dengan pengenalan akan membawa dia kepada gambaran umum dalam ilmu tersebut dan membawa dia kepada kefahaman yang mendalam dalam ilmu tersebut.

C) Usul fiqh dan fiqh adalah dua ilmu yang berbeza tetapi saling berkaitan dan saling memerlukan antara satu sama lain malah tak boleh dipisahkan kerana Faqeh memerlukan Usul untuk 
memahami cara memetik hukum dari nas dan Usuli memerlukan feqh untuk mempraktikkan kaedah2 yang ditetapkan dalam bahagian2 dan masalah2 feqh. 

kesimpulan

Ulama-ulama selain mengajar matapelajaran, mereka juga memberi nasihat dan melalui nasihat mereka mendidik. Moga Allah sentiasa memelihara mereka ameen.


"Ya Allah jadikanlah diriku dan rakan2ku semuanya di kalangan orang2 yang istiqamah dalam memahami ilmuMu. Ameen".

Moga bermanfaat. Wallahu a'lam.

KOLEKSI FATWA ULAMA & PENGENALAN SHEIKH ATHIYYAH SAQAR

بسم الله والصلاة  والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه واتبع هداه

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, moga anda semua dalam keadaan sihat wal'afiyat dan sentiasa ceria dan gembira bersama orang tersayang.

Pada kesempatan ini saya akan berkongsi dengan anda tentang fatwa ulama berkaitan dengan ilmu Al Quran. Ulama yang dimaksudkan ialah Sheikh Athiyyah Saqar merupakan ulama besar Mesir dan dunia Arab.



MENGAPAKAH SURAH AT TAUBAH TIDAK BOLEH DIMULAI DENGAN BASMALAH SEPERTI SURAH-SURAH LAIN? 

Soalan yang diajukan kepada sheikh ialah mengapakah surah At Taubah tidak dimulakan dengan bismillah / basmalah seperti surah-surah lain?

Maka sheikh menjawab:

Sebabnya diperselisihkan oleh ulama, ada yang mengatakan kerana surah itu diturunkan untuk peperangan, pembunuhan dan menonjolkan kejahatan keadaan orang-orang munafiq, maka tidak sesuai dalam keadaan ini dimulakan dengan bismillah yang membawa maksud rahmat, seperti adat orang Arab ketika menujukan percakapan mereka kepada orang lain maka permulaannya mestilah sesuai dengan isi kandungannya dan ada pandangan mengatakan Sayyiduna Othman –radhiallahu anhu- ketika menyuruh penulis-penulis Mushaf untuk membuat salinan beberapa surah daripada Al Quran, dan susunan surah yang tidak kukuh dan sabit nas dalam penyusunannya daripada nabi sallallah alaih wasallam ketika menjadikan surah-surah yang panjang yang berdekatan antara satu sama lain, maka dia berpandangan bahawa tajuk surah Al Anfal sesuai dengan surah At Taubah, maka sayyiduna Osman –radhiallahu anhu- menyuruh agar surah At Taubah diletakkan bersebelahan dengan surah Al Anfal tanpa diletakkan bismillah, dan diketahui bahawa surah Al Anfal antara surah Madaniyah yang awal diturunkan, manakala surah At Taubah antara surah Madaniyah yang akhir diturunkan, tetapi kedua-duanya bersesuaian dari segi tajuk dan ada yang mengatakan selain dari dua pandangan yang disebutkan, dan dalam buku-buku tafsir perbincangan tajuk ini lebih meluas siapa yang nak. 

(
موسوعة أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام فضيلة الشيخ سقر ص: 233) - Mausu'ah Ahsan al Kalam fe al Fatawa wa al Ahkam- 


  • Mungkin ada yang bertanya siapakah sheikh yang saya bawakan ni? 


Tak kenal pun. Tak mengapa, kalau ada yang bertanya tu bagus, saya bawakan sedikit pengenalan dan kalau kita tidak mengenali beliau tak bermaksud ramai orang tidak mengenali, berapa ramai yang kita tidak kenal tetapi dia sebenarnya terkenal? :-)


SHEIKH ATHIYYAH SAQAR : ULAMA BESAR DUNIA ZAMAN KINI

Sheikh Atiyyah Saqar dilahirkan pada 22 November 1914 di sebuah perkampungan di negeri Zaqaziq dan wafat pada 9 Disember 2006. Merupakan salah seorang ulama besar di Mesir dan dunia Arab pada zaman ini. Juga merupakan salah seorang ulama besar universiti Al Azhar Mesir, pernah mengetuai badan fatwa universiti Al Azhar, salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir, dan pernah menjadi ahli parlimen dan anggota Majlis Syura Mesir. 

Merupakan seorang imam dan khatib di banyak masjid dan pernah mengajar di pelbagai universiti selain Al Azhar dan biasa membuat pembentangan di luar negara. Juga pernah menjadi ahli Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam dan bekerjasama dengan kementerian Waqaf Kuwait. Juga pernah menjadi ahli Islamic Research Centre di Kaherah Mesir. Banyak mengarang buku-buku yang sangat ilmiah dan berkualiti isi kandungannya serta diterima pakai oleh ramai mahasiswa dan ulama pada zamannya sehingga kini. 

Antara karya beliau:

a) Dakwah Islamiyah Dakwah Ilmiah
b) Kajian - Kajian Islam Dalam Isu-Isu Kontemporari Yang Terpenting
c) Pekerjaan & Pekerja dalam Perspektif Islam
d) Hijab dan Pekerjaan Wanita
e) Seni Memberi Nasihat
dan pelbagai lagi buku-buku lain yang tak disebutkan di sini. 

kesimpulan

"Beliau merupakan seorang ulama yang sangat tinggi ilmunya dan akhlaknya." Moga Allah membalas segala jasa beliau ameen.

InsyaAllah dalam kesempatan akan datang, saya akan bawakan fatwa-fatwa ulama dalam pelbagai isu dan topik. Moga bermanfaat. Wallahu a'lam.