بسم الله، صلاة وسلاما على رسول الله،
وآله وصحبه ومن والاه واتبع هداه
Sesungguhnya
biografi seorang ulama sangat penting untuk kita mengetahui agar kita dapat
mengenali lebih jauh bagaimanakah para ulama mengarang buku-buku mereka dan
apakah sejarah hidup serta kehebatan mereka dalam bidang mereka, semuanya
diketahui dengan biografi. Oleh itu para ulama sangat menitik beratkan bab ini
dan telah mengarang banyak buku khas berkenaan biografi bermula zaman sahabat
sehinggalah ulama sekarang.
Ini menolak mereka yang mengatakan kita
tidak perlu mengetahui biografi para ulama kerana ianya bukanlah suatu
keperluan yang lebih diperlukan adalah kefahaman dalam bidang, itu silap sama
sekali. Di sana terdapat banyak kepentingan mengetahui biografi para ulama
antaranya dapat mengetahui tahun kewafatan, kerana dengan mengetahui tahun
kewafatan kita akan memahami siapa yang terlebih dahulu dalam bidang, dan ini
mempengaruhi dan memberi kesan terhadap buku dan penulisan seseorang ulama
dalam bidang mereka.
Oleh itu harus kita sebagai penuntut ilmu
dan pengajar terutamanya ilmu syarak mengambil berat dengan perkara ini dan
alhamdulilah para ulama salaf kita telah menyediakan pelbagai karya untuk kita
jadikannya sebagai rujukan dan garis panduan untuk mencari permasalahan
berkaitan dengan perkara ini.
Sempena kelas mingguan kitab ini yang
diajarkan oleh guru kami yang mulia sheikh Ahmad al-Maqdi al-Hadhrami
-hafizahullah-, maka saya berkeinginan untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat
dan juga khidmat kepada sheikh, ulama dan mazhab untuk menterjemah biografi
pengarang kitab ini, moga-moga dengan terjemahan ini, lebih ramai di kalangan
kita mengenali siapakah pengarang kitab ini dan apabila kenal maka akan ada
cinta, apabila ada cinta kepada para ulama, maka akan juga ada cinta kepada
kitab-kitab mereka, dan insyaAllah moga-moga kita mendapat syafaat mereka di
akhirat kelak.
Semoga Allah Taala memberikan taufiq
dan hidayah buat kita semua, dialah yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan
segala yang akan berlaku.
Wallahu
a'lam.
ترجمة العلامة عبد الله بن عبد الرحمن بلحاج بافضل،مؤلف ((مسائل التعليم)) المعروف بـ ((المقدمة الحضرمية))
BIOGRAFI
AL IMAM AL A'LLAMAH ABDULLAH BIN
ABDUL RAHMAN BALHAJ BAFADHL
(PENGARANG
MASAEL ET TA'LEEM YANG TERKENAL DENGAN NAMA
AL MUQADDIMAH AL HADHRAMIYYAH)
v Nama & Nasabnya
v Keluarga &
Keturunannya
v Keluarga al-Hajj
Ba-Fadhl (Qabilah pengarang)
v Kelahirannya &
Perkembangannya
v Guru-gurunya
v Sebab Pemindahannya ke
as-Syehr
v Usahanya Dalam Perkara
Kebaikan
v Anak-anak Muridnya
v Karya & Penulisannya
v Anak-anak & Cucunya
v Kewafatannya
v Syair Tentang Beliau
v Sumber rujukan
Nama & Nasabnya
Beliau ialah al faqeh al imam al a'llamah
al a'rif billah, pemilik penulisan-penulisan yang bermanfaat, Abdullah bin
Abdul Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad al-Hajj ibnu Abdul Rahman
bin Abdullah bin Yahya ibnu al Qadhi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl bin Muhammad
bin Abdul Karim BaFadhl, al Qahtany, as Sa'dy, al Mazhijiy, al Hadhrami, at
Taremi.
Al Qahtany merupakan nisbah kepada Qahtan
bin A'ber daripada zuriat Sam bin Noh AS, abu al Yaman kesemuanya tidak terkecuali,
dan as Sa'dy nisbah kepada qabilah Sa'd, al Mazhijiy nisbah
kepada Mazhij iaitu bapa kepada qabilah Sa'd ibnu Udad bin Zaid bin Yashjub bin
U'raib bin Zaid bin Kahlan bin Saba' yang berakhir kepada Qahtan.
Keluarga &
Keturunannya
Tidak syak lagi bahawa apabila baik
keturunannya maka baiklah cucu cicitnya, dan apabila kita mengetahui bahawa
keturunan datuk nenek pengarang kitab ini, mereka merupakan kesemuanya ilmuwan,
orang-orang yang baik dan bertaqwa dan memahami agama, bahkan sehingga
anak-anak mereka dan hashiyah-hashiyah mereka serta cucu cicit mereka, dan jika
kita nak sediakan sebahagian daripada kisah hidup mereka dan biografi-biografi
mereka bermula dengan datuk-datuk yang terawal, maka perkara tersebut akan
menjadi sangat panjang, tetapi kita biarkan peluang kepada sesiapa yang ingin
mengetahui perkara tersebut dengan merujuk kitab Silatul Ahl (صلة الأهل),
maka dalam kitab ini terdapat khabar yang diyakini, bahawa kami akan
mempersembahkan untuk menyebut mereka-mereka yang masyhur dalam imbasan-imbasan
secara cepat daripada tiang nasab yang menceritakan biografinya.
Maka
datuknya yang tertinggi: Fadhl bin Muhammad bin Abdul Karim wafat pada tahun
533H merupakan salah seorang daripada para ulama yang mengamalkan ilmunya,
seperti yang digambarkan oleh pengarang kitab Al Jauhar Ash Shaffaf (الجوهر الشفاف), dan dia merupakan bapa kepada sheikh Salim pemilik zawiyah di
Tarim.
Cucunya
pula al Qadhi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl wafat pada tahun 600H, dahulunya
merupakan seorang yang memegang jawatan kehakiman (qadha) di Tarim, dan anaknya
Yahya bin Ahmad merupakan seorang yang berilmu dan soleh, dan begitu juga
anaknya Abdullah bin Yahya, dan cucunya Abdul Rahman bin Abdullah.
Keluarga al-Hajj
Ba-Fadhl (Qabilah pengarang)
Keluarga
al Hajj kepada sheikh Muhammad al Hajj bin Abdul Rahman bin Abdullah, dan
digelar dengan gelaran tersebut kerana banyak menunaikan haji, dan dia
mempunyai banyak gelaran, dan telah jelas daripada keturunannya para ulama yang
agung, dan salah seorang daripada mereka kedua-dua anaknya iaitu Abu Bakar dan
Fadhl.
Adapun
Abu Bakar: Dia merupakan datuk yang paling bawah dengan pengarang Al
Muqaddimah, merupakan salah seorang ilmuwan yang terkenal dan sheikh Omar al
Mehdhar telah belajar daripadanya, dan anak saudaranya Abdullah bin Fadhl, dan
anaknya Abdul Rahman bapa pengarang Muqaddimah. Sheikh Abu Bakar wafat pada
tahun 804H.
Sheikh
Abu Bakar mempunyai empat orang anak lelaki: Abdul Rahman bapa kepada pengarang
dan akan datang kisah berkenaannya dan Abdullah bapa kepada al faqeh Ahmad
wafat tahun 900H, dan Muhammad yang merupakan guru kepada sebilangan
alaweyyeen, dan Ahmad yang digelar Sya'ban merupakan datuk fuqaha keluarga
BaSya'ban BaFadhl.
Sekiranya
kita pergi kepada menyebut nama-nama ulama Feqh di kalangan anak saudara kepada
pemilik biografi, maka perkara akan menjadi panjang, dan hanya disebutkan di
sini adalah bertujuan untuk memberitahu bahawa rumah ini adalah daripada
rumah-rumah yang baik dan mulia, yang berterusan dalamnya ilmu dan fiqh.
Kelahirannya & Perkembangannya
Beliau
dilahirkan di Tarim pada tahun 850H. Beliau dibesarkan bersama bapa beliau
sheikh Abdul Rahman yang wafat pada tahun 866H. Bapa beliau merupakan seorang
yang berilmu dan baik, telah mengambil ilmu daripada bapanya sheikh Abu Bakar
dan dididik olehnya dan daripada imam besar sheikh Omar al Mehdhar dan
saudara-saudaranya, dan daripada sheikh imam Abdullah Al Edroos yang wafat pada
tahun 865H.
Sheikh
Abdullah (pemilik biografi) telah menghafal Al Quran sejak kecil dan pelbagai
matan dalam fiqh dan bahasa (lughah) dan telah sibuk mempelajari tajwid dan
mengambil berat dengan fiqh dan hadith.
Guru-gurunya
Selepas beliau mempelajari prinsip-prinsip
ilmu dan menguasainya sebenar-benar penguasaan dengan bapanya dan para ulama
Tarim, keazaman ke arah ilmu itu telah menjadi semakin kuat dan menjadi
warganegara bandar A'den, di mana semasa itu A'den penuh dan melimpahnya para
fuqaha pada zaman negara Tohiriyah dan di situlah beliau menuntut ilmu, dan
antara guru-gurunya yang terkenal:
1.
Sheikh Imam al-Faqeh al-Mufti Abdullah bin Ahmad
Bamakhramah as-Sibani (833-903H)
Merupakan
seorang qadhi yang menggantikan gurunya al-Imam Ahmad bin Muhammad BaHamish
al-'Adni (891H), dan beliau diijazahkan oleh gurunya Bamakhramah dalam semua
riwayatnya.
2.
Sheikh Imam al-Faqeh Muhammad bin Ahmad bin Abdullah
Ba-Fadhl (840-903H). Telah
menuntut ilmu di Tarim kemudian bermusafir untuk menuntut ilmu di A'den, dan
keluar menuntut ilmu dengan al qadhi Muhammad bin Ahmad BaHamesh dan al qadh
Muhammad bin Mas'ud BaSyakel dan antara penulisannya yang terkenal ialah
al-U'ddah wa as-Silah fi Ahkam an Nikah.
Kemudian dia bermusafir ke al Haramain as
Syarifain untuk menunaikan Haji dan Umrah, maka dia pergi pada tahun 875H, dan
dia menunaikan haji dan menziarahi Sayyidul Kaunaian Rasulullah SAW, dan
bertemu dalam permusafiran tersebut dengan beberapa orang ulama besar di sana
dan sebahagian ulama tarikh telah menyebutnya: Antara ulama Mekkah ialah:
3.
Al A'llamah al Jalil al Qadhi Burhanuddin Ibrahim bin
Ali bin Zahirah al Qurasyi, al Makkiy, Ash Shafi'e (825-891H) yang telah menjadi qadhi di Mekkah selama
lebih dari 30 tahun. Beliau merupakan rujukan para ulama zamannya di Hijaz.
Telah menuntut ilmu daripada al Hafiz Ibnu Hajar dan Ash Sharaf Al Munawi dan
juga telah bermulazamah (menuntut dalam tempoh yang lama) Abu Bakar As Sayuti
iaitu bapa kepada al Imam Jalaluddin As Sayuti dan keluar menjadi qadhi
daripada beliau.
Antara ulama besar di
Madinah pula ialah:
4.
Al Allamah al Muhaddith Nasiruddin Muhammad Aba al
Faraj ibnu Abi Bakar ibnu al Husain al Maraghi al Uthmani ash Shafi'e al Madani (806-880H). Beliau telah menuntut ilmu dengan Ibnu Al
Jazari dan al wali al Iraqi dan al Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi ulama besar.
Beliau juga ada mengarang syarah kepada Minhaj Imam An Nawawi dan syarah kepada
Alfiyah ibnu Malik dan selainnya.
Sebelum beliau bermusafir ke al Haramain
beliau telah pergi menuntut ilmu di Hadhramaut dan telah bertemu dengan:
5.
Sheikh Al
Arif Billah Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad Baharmaz Asy Syabami wafat pada
tahun 875H, dan telah mengambil ilmu daripadanya dengan sebenar-benarnya dan terpengaruh
dengan ilmu dan gayanya dan menjalankan segala perintah gurunya dan ziarahnya
merupakan bersuhbah sheikhnya al faqeh Abdullah bin Ahmad Bamakhramah yang juga
beliau terpengaruh dengan ilmu dan gayanya.
Antara guru-gurunya yang
lain:
6.
Al Allamah al Jalil al Faqeh as Soleh al A'rif
Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bajarfel Ad Dau'ani al Hadhramy kemudian berhijrah ke A'den (820-903H).
Beliau telah menuntut ilmu daripada ulama
besar yang merupakan juga fuqaha Dau'an dan A'den dan telah bersahabat dengan
al Qadhi Muhammad bin Mas'ud Basyakel, dan telah ulama al Haramain telah
mengijazahkannya, dan dia mempunyai sanad tinggi dalam al Hawi as Sogher oleh
al Qazwiny yang merupakan beliau meriwayatkannya daripada sejumlah
guru-gurunya. Beliau telah mengambil daripada pengarang Muqaddimah Al
Hadhramiyyah ijazah bertulis dan dia mempunyai anak-anaknya antaranya Abdul
Rahman, Ahmad as Syahid, Fadhl dan Muhammad.
Ulama Sezamannya
Kita telah menceritakan
sebelum ini bahawa pengarang Muqaddimah ini dilahirkan dan dibesarkan di Tarim
dalam keadaan yang penuh ilmu dan kebaikan, dan telah sezaman dengan beberapa
ulama antaranya:
1.
As Sayyid Asy Syarif al Imam Abu Bakar al A'dani ibnu
Abdullah Al Edroos
(850/851-914H). Dan beliau merupakan sezaman dan sebaya dengan sheikh Abdullah Balhajj
Bafadhal, walaupun begitu sheikh telah mengambil ilmu daripadanya dan
menganggapnya salah seorang daripada gurunya.
2.
Adiknya as Sayyid al Jalil as Sheikh al Husein bin
Abdullah Al Edroos (860-917H).
3.
Sayyid as Syarif al Allamah Abdul Rahman bin sheikh al Imam Ali bins Abi Bakar as Sakron (850-923H)
dan beliau juga merupakan sebaya dengan sheikh Abdullah Balhajj Bafadhal.
Al Faqeh Abdullah bin Muhammad bin Hakam
Baqashir meriwayatkan bahawa: Ketika aku membaca Muqaddimah Syarah Muhazzab
karangan Imam an Nawawi tentang manaqib al Imam Ash Shafi'e rahimahullah yang
pada zaman beliau ramai ulama-ulama besar bermusafir untuk bertemu dan
mempelajari daripada beliau bersama Sidi Sheikh Syarif Abdul Rahman bin Sheikh
Ali bin Abi Bakar Alwi, beliau berkata: Manusia ini mereka tidak ada i'ktiqad,
kalau tak dah lama mereka akan bermusafir untuk menuntut ilmu dengan al Faqeh
Abdullah (pengarang Muqaddimah) dan dia merupakan imam Shafi'e kita.
Beliau juga berkata pada Rejab 915H: Pada
aku, hari ini tidak ada seorang yang sangat faqeh seperti al faqeh Abdullah
Balhajj.
4.
Sheikh al Allamah al Imam al Fahhamah al Mutafannin
pemilik kitab-kitab yang sangat bermanfaat : Muhammad bin Omar bin Mubarak
Bahraq (869-930H), telah berteman dengan sheikh Abdullah Balhajj Bafadhl
semasa menuntut ilmu dengan al Imam Abdullah bin Ahmad Bamakhramah, dan telah
berkongsi bersamanya dalam pembacaan bersama al Allamah Muhammad bin Ahmad
Bafadhl di A'den.
Sheikh sangat suka kepada sheikh Abdullah
dan sangat menghormatinya, sebahagian ulama sejarah telah meriwayatkan bahawa
al faqeh Bahraq telah berdiri memberi khutbah kepada orang ramai selepas mereka
selesai tanam jenazah sheikh Abdullah Balhajj pada Isnin 5 Ramadhan 918H, dan
pada masa itu ramai penduduk menghadiri dan ada di situ juga Sultan Badr
Butuwiriq (Sultan Hadhramaut pada masa itu) berada di sampingnya, dan dalam
khutbah itu sheikh bersyukur dan memuji Allah Taala dan menyampaikan sebuah
khutbah yang sangat memberi kesan kepada pendengar, dan sheikh telah menyebut
dalam khutbah tersebut hadith Rasulullah SAW: Barangsiapa yang melihat aku di
dalam tidurnya, maka dia telah melihat aku yang sebenarnya.
Kemudian dia berkata: Pada malam semalam aku
telah melihat Sayyiduna Rasulullah SAW dan bersabda baginda: Semua yang datang
hadir solat jenazah ini pada esok hari akan diampunkan Allah Taala baginya
dosa-dosanya.
Telah berkata sheikh al A'rif Abdul Rahman
bin Sirajuddin Bajamal: Aku sangat kagum daripada khabar tersebut dan aku sangat
memuliakannya, dan aku berkata: Bagaimana boleh berlaku perkara ini dan ini
merupakan suatu perhimpunan yang sangat ramai dan dalam perhimpunan ini ada di
kalangan mereka ini orang-orang yang zalim dan fasiq? Maka aku melihat pada
malam tersebut Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau merasa mulia dengan apa
yang dikatakan oleh Muhammad Bahraq?? Aku menjawab: Ya, maka baginda bersabda:
Ia adalah seperti apa yang dinyatakannya. (Berakhir kisah ini)
Akan bersambung akan datang tentang sebab perpindahan sheikh ke bandar Shehr, Yaman dan seterusnya insyaAllah. Mohon doa para pembaca sekalian.
Disediakan oleh:
Barisan Pentahqiq Dar Al Minhaj Publication
Diterjemahkan oleh:
Al-Faqeer Muhammad Hafeez bin Yusuf Al Habshi
Khadam Muslimin, Kaherah, Mesir.
25 MUHARRAM 1434H / 8 DISEMBER 2012
1 comment:
smbungnye di mne ye?
Post a Comment