"Bersama berkhidmat untuk ummah. '' Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat '' -al hadith-

Thursday 5 December 2013

Biografi seorang ulama





بسم الله، صلاة وسلاما على رسول الله، وآله وصحبه ومن والاه واتبع هداه
     Sesungguhnya biografi seorang ulama sangat penting untuk kita mengetahui agar kita dapat mengenali lebih jauh bagaimanakah para ulama mengarang buku-buku mereka dan apakah sejarah hidup serta kehebatan mereka dalam bidang mereka, semuanya diketahui dengan biografi. Oleh itu para ulama sangat menitik beratkan bab ini dan telah mengarang banyak buku khas berkenaan biografi bermula zaman sahabat sehinggalah ulama sekarang.
     Ini menolak mereka yang mengatakan kita tidak perlu mengetahui biografi para ulama kerana ianya bukanlah suatu keperluan yang lebih diperlukan adalah kefahaman dalam bidang, itu silap sama sekali. Di sana terdapat banyak kepentingan mengetahui biografi para ulama antaranya dapat mengetahui tahun kewafatan, kerana dengan mengetahui tahun kewafatan kita akan memahami siapa yang terlebih dahulu dalam bidang, dan ini mempengaruhi dan memberi kesan terhadap buku dan penulisan seseorang ulama dalam bidang mereka.
    Oleh itu harus kita sebagai penuntut ilmu dan pengajar terutamanya ilmu syarak mengambil berat dengan perkara ini dan alhamdulilah para ulama salaf kita telah menyediakan pelbagai karya untuk kita jadikannya sebagai rujukan dan garis panduan untuk mencari permasalahan berkaitan dengan perkara ini.
     Sempena kelas mingguan kitab ini yang diajarkan oleh guru kami yang mulia sheikh Ahmad al-Maqdi al-Hadhrami -hafizahullah-, maka saya berkeinginan untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat dan juga khidmat kepada sheikh, ulama dan mazhab untuk menterjemah biografi pengarang kitab ini, moga-moga dengan terjemahan ini, lebih ramai di kalangan kita mengenali siapakah pengarang kitab ini dan apabila kenal maka akan ada cinta, apabila ada cinta kepada para ulama, maka akan juga ada cinta kepada kitab-kitab mereka, dan insyaAllah moga-moga kita mendapat syafaat mereka di akhirat kelak.
        Semoga Allah Taala memberikan taufiq dan hidayah buat kita semua, dialah yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan segala yang akan berlaku.
Wallahu a'lam.

ترجمة العلامة عبد الله بن عبد الرحمن بلحاج بافضل،مؤلف ((مسائل التعليم)) المعروف بـ ((المقدمة الحضرمية))

BIOGRAFI AL IMAM AL A'LLAMAH ABDULLAH BIN
ABDUL RAHMAN BALHAJ BAFADHL
(PENGARANG MASAEL ET TA'LEEM YANG TERKENAL DENGAN NAMA
AL MUQADDIMAH AL HADHRAMIYYAH)

v  Nama & Nasabnya
v  Keluarga & Keturunannya
v  Keluarga al-Hajj Ba-Fadhl (Qabilah pengarang)
v  Kelahirannya & Perkembangannya
v  Guru-gurunya
v  Sebab Pemindahannya ke as-Syehr
v  Usahanya Dalam Perkara Kebaikan
v  Anak-anak Muridnya
v  Karya & Penulisannya
v  Anak-anak & Cucunya
v  Kewafatannya
v  Syair Tentang Beliau
v  Sumber rujukan
Nama & Nasabnya
    Beliau ialah al faqeh al imam al a'llamah al a'rif billah, pemilik penulisan-penulisan yang bermanfaat, Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad al-Hajj ibnu Abdul Rahman bin Abdullah bin Yahya ibnu al Qadhi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl bin Muhammad bin Abdul Karim BaFadhl, al Qahtany, as Sa'dy, al Mazhijiy, al Hadhrami, at Taremi.
    Al Qahtany merupakan nisbah kepada Qahtan bin A'ber daripada zuriat Sam bin Noh AS, abu al Yaman kesemuanya tidak terkecuali, dan as Sa'dy nisbah kepada qabilah Sa'd, al Mazhijiy nisbah kepada Mazhij iaitu bapa kepada qabilah Sa'd ibnu Udad bin Zaid bin Yashjub bin U'raib bin Zaid bin Kahlan bin Saba' yang berakhir kepada Qahtan.
Keluarga & Keturunannya
      Tidak syak lagi bahawa apabila baik keturunannya maka baiklah cucu cicitnya, dan apabila kita mengetahui bahawa keturunan datuk nenek pengarang kitab ini, mereka merupakan kesemuanya ilmuwan, orang-orang yang baik dan bertaqwa dan memahami agama, bahkan sehingga anak-anak mereka dan hashiyah-hashiyah mereka serta cucu cicit mereka, dan jika kita nak sediakan sebahagian daripada kisah hidup mereka dan biografi-biografi mereka bermula dengan datuk-datuk yang terawal, maka perkara tersebut akan menjadi sangat panjang, tetapi kita biarkan peluang kepada sesiapa yang ingin mengetahui perkara tersebut dengan merujuk kitab Silatul Ahl (صلة الأهل), maka dalam kitab ini terdapat khabar yang diyakini, bahawa kami akan mempersembahkan untuk menyebut mereka-mereka yang masyhur dalam imbasan-imbasan secara cepat daripada tiang nasab yang menceritakan biografinya.
       Maka datuknya yang tertinggi: Fadhl bin Muhammad bin Abdul Karim wafat pada tahun 533H merupakan salah seorang daripada para ulama yang mengamalkan ilmunya, seperti yang digambarkan oleh pengarang kitab Al Jauhar Ash Shaffaf (الجوهر الشفاف), dan dia merupakan bapa kepada sheikh Salim pemilik zawiyah di Tarim.
      Cucunya pula al Qadhi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl wafat pada tahun 600H, dahulunya merupakan seorang yang memegang jawatan kehakiman (qadha) di Tarim, dan anaknya Yahya bin Ahmad merupakan seorang yang berilmu dan soleh, dan begitu juga anaknya Abdullah bin Yahya, dan cucunya Abdul Rahman bin Abdullah.

Keluarga al-Hajj Ba-Fadhl (Qabilah pengarang)
        Keluarga al Hajj kepada sheikh Muhammad al Hajj bin Abdul Rahman bin Abdullah, dan digelar dengan gelaran tersebut kerana banyak menunaikan haji, dan dia mempunyai banyak gelaran, dan telah jelas daripada keturunannya para ulama yang agung, dan salah seorang daripada mereka kedua-dua anaknya iaitu Abu Bakar dan Fadhl.
        Adapun Abu Bakar: Dia merupakan datuk yang paling bawah dengan pengarang Al Muqaddimah, merupakan salah seorang ilmuwan yang terkenal dan sheikh Omar al Mehdhar telah belajar daripadanya, dan anak saudaranya Abdullah bin Fadhl, dan anaknya Abdul Rahman bapa pengarang Muqaddimah. Sheikh Abu Bakar wafat pada tahun 804H.
       Sheikh Abu Bakar mempunyai empat orang anak lelaki: Abdul Rahman bapa kepada pengarang dan akan datang kisah berkenaannya dan Abdullah bapa kepada al faqeh Ahmad wafat tahun 900H, dan Muhammad yang merupakan guru kepada sebilangan alaweyyeen, dan Ahmad yang digelar Sya'ban merupakan datuk fuqaha keluarga BaSya'ban BaFadhl.
       Sekiranya kita pergi kepada menyebut nama-nama ulama Feqh di kalangan anak saudara kepada pemilik biografi, maka perkara akan menjadi panjang, dan hanya disebutkan di sini adalah bertujuan untuk memberitahu bahawa rumah ini adalah daripada rumah-rumah yang baik dan mulia, yang berterusan dalamnya ilmu dan fiqh.

Kelahirannya & Perkembangannya
   Beliau dilahirkan di Tarim pada tahun 850H. Beliau dibesarkan bersama bapa beliau sheikh Abdul Rahman yang wafat pada tahun 866H. Bapa beliau merupakan seorang yang berilmu dan baik, telah mengambil ilmu daripada bapanya sheikh Abu Bakar dan dididik olehnya dan daripada imam besar sheikh Omar al Mehdhar dan saudara-saudaranya, dan daripada sheikh imam Abdullah Al Edroos yang wafat pada tahun 865H.
    Sheikh Abdullah (pemilik biografi) telah menghafal Al Quran sejak kecil dan pelbagai matan dalam fiqh dan bahasa (lughah) dan telah sibuk mempelajari tajwid dan mengambil berat dengan fiqh dan hadith.


Guru-gurunya
   Selepas beliau mempelajari prinsip-prinsip ilmu dan menguasainya sebenar-benar penguasaan dengan bapanya dan para ulama Tarim, keazaman ke arah ilmu itu telah menjadi semakin kuat dan menjadi warganegara bandar A'den, di mana semasa itu A'den penuh dan melimpahnya para fuqaha pada zaman negara Tohiriyah dan di situlah beliau menuntut ilmu, dan antara guru-gurunya yang terkenal:
1.      Sheikh Imam al-Faqeh al-Mufti Abdullah bin Ahmad Bamakhramah as-Sibani (833-903H)
Merupakan seorang qadhi yang menggantikan gurunya al-Imam Ahmad bin Muhammad BaHamish al-'Adni (891H), dan beliau diijazahkan oleh gurunya Bamakhramah dalam semua riwayatnya.
2.      Sheikh Imam al-Faqeh Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Ba-Fadhl (840-903H). Telah menuntut ilmu di Tarim kemudian bermusafir untuk menuntut ilmu di A'den, dan keluar menuntut ilmu dengan al qadhi Muhammad bin Ahmad BaHamesh dan al qadh Muhammad bin Mas'ud BaSyakel dan antara penulisannya yang terkenal ialah al-U'ddah wa as-Silah fi Ahkam an Nikah.
   Kemudian dia bermusafir ke al Haramain as Syarifain untuk menunaikan Haji dan Umrah, maka dia pergi pada tahun 875H, dan dia menunaikan haji dan menziarahi Sayyidul Kaunaian Rasulullah SAW, dan bertemu dalam permusafiran tersebut dengan beberapa orang ulama besar di sana dan sebahagian ulama tarikh telah menyebutnya: Antara ulama Mekkah ialah:
3.      Al A'llamah al Jalil al Qadhi Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Zahirah al Qurasyi, al Makkiy, Ash Shafi'e (825-891H) yang telah menjadi qadhi di Mekkah selama lebih dari 30 tahun. Beliau merupakan rujukan para ulama zamannya di Hijaz. Telah menuntut ilmu daripada al Hafiz Ibnu Hajar dan Ash Sharaf Al Munawi dan juga telah bermulazamah (menuntut dalam tempoh yang lama) Abu Bakar As Sayuti iaitu bapa kepada al Imam Jalaluddin As Sayuti dan keluar menjadi qadhi daripada beliau.
Antara ulama besar di Madinah pula ialah:
4.      Al Allamah al Muhaddith Nasiruddin Muhammad Aba al Faraj ibnu Abi Bakar ibnu al Husain al Maraghi al Uthmani ash Shafi'e al Madani (806-880H). Beliau telah menuntut ilmu dengan Ibnu Al Jazari dan al wali al Iraqi dan al Hafiz Ibnu Hajar dan ramai lagi ulama besar. Beliau juga ada mengarang syarah kepada Minhaj Imam An Nawawi dan syarah kepada Alfiyah ibnu Malik dan selainnya.

   Sebelum beliau bermusafir ke al Haramain beliau telah pergi menuntut ilmu di Hadhramaut dan telah bertemu dengan:
5.       Sheikh Al Arif Billah Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad Baharmaz Asy Syabami wafat pada tahun 875H, dan telah mengambil ilmu daripadanya dengan sebenar-benarnya dan terpengaruh dengan ilmu dan gayanya dan menjalankan segala perintah gurunya dan ziarahnya merupakan bersuhbah sheikhnya al faqeh Abdullah bin Ahmad Bamakhramah yang juga beliau terpengaruh dengan ilmu dan gayanya.
Antara guru-gurunya yang lain:
6.      Al Allamah al Jalil al Faqeh as Soleh al A'rif Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bajarfel Ad Dau'ani al Hadhramy kemudian berhijrah ke A'den (820-903H).
   Beliau telah menuntut ilmu daripada ulama besar yang merupakan juga fuqaha Dau'an dan A'den dan telah bersahabat dengan al Qadhi Muhammad bin Mas'ud Basyakel, dan telah ulama al Haramain telah mengijazahkannya, dan dia mempunyai sanad tinggi dalam al Hawi as Sogher oleh al Qazwiny yang merupakan beliau meriwayatkannya daripada sejumlah guru-gurunya. Beliau telah mengambil daripada pengarang Muqaddimah Al Hadhramiyyah ijazah bertulis dan dia mempunyai anak-anaknya antaranya Abdul Rahman, Ahmad as Syahid, Fadhl dan Muhammad.

Ulama Sezamannya
Kita telah menceritakan sebelum ini bahawa pengarang Muqaddimah ini dilahirkan dan dibesarkan di Tarim dalam keadaan yang penuh ilmu dan kebaikan, dan telah sezaman dengan beberapa ulama antaranya:
1.      As Sayyid Asy Syarif al Imam Abu Bakar al A'dani ibnu Abdullah Al Edroos (850/851-914H). Dan beliau merupakan sezaman dan sebaya dengan sheikh Abdullah Balhajj Bafadhal, walaupun begitu sheikh telah mengambil ilmu daripadanya dan menganggapnya salah seorang daripada gurunya.
2.      Adiknya as Sayyid al Jalil as Sheikh al Husein bin Abdullah Al Edroos (860-917H).
3.      Sayyid as Syarif al Allamah Abdul Rahman bin sheikh al Imam Ali bins Abi Bakar as Sakron (850-923H) dan beliau juga merupakan sebaya dengan sheikh Abdullah Balhajj Bafadhal.
   Al Faqeh Abdullah bin Muhammad bin Hakam Baqashir meriwayatkan bahawa: Ketika aku membaca Muqaddimah Syarah Muhazzab karangan Imam an Nawawi tentang manaqib al Imam Ash Shafi'e rahimahullah yang pada zaman beliau ramai ulama-ulama besar bermusafir untuk bertemu dan mempelajari daripada beliau bersama Sidi Sheikh Syarif Abdul Rahman bin Sheikh Ali bin Abi Bakar Alwi, beliau berkata: Manusia ini mereka tidak ada i'ktiqad, kalau tak dah lama mereka akan bermusafir untuk menuntut ilmu dengan al Faqeh Abdullah (pengarang Muqaddimah) dan dia merupakan imam Shafi'e kita.
   Beliau juga berkata pada Rejab 915H: Pada aku, hari ini tidak ada seorang yang sangat faqeh seperti al faqeh Abdullah Balhajj.
4.      Sheikh al Allamah al Imam al Fahhamah al Mutafannin pemilik kitab-kitab yang sangat bermanfaat : Muhammad bin Omar bin Mubarak Bahraq (869-930H), telah berteman dengan sheikh Abdullah Balhajj Bafadhl semasa menuntut ilmu dengan al Imam Abdullah bin Ahmad Bamakhramah, dan telah berkongsi bersamanya dalam pembacaan bersama al Allamah Muhammad bin Ahmad Bafadhl di A'den.
   Sheikh sangat suka kepada sheikh Abdullah dan sangat menghormatinya, sebahagian ulama sejarah telah meriwayatkan bahawa al faqeh Bahraq telah berdiri memberi khutbah kepada orang ramai selepas mereka selesai tanam jenazah sheikh Abdullah Balhajj pada Isnin 5 Ramadhan 918H, dan pada masa itu ramai penduduk menghadiri dan ada di situ juga Sultan Badr Butuwiriq (Sultan Hadhramaut pada masa itu) berada di sampingnya, dan dalam khutbah itu sheikh bersyukur dan memuji Allah Taala dan menyampaikan sebuah khutbah yang sangat memberi kesan kepada pendengar, dan sheikh telah menyebut dalam khutbah tersebut hadith Rasulullah SAW: Barangsiapa yang melihat aku di dalam tidurnya, maka dia telah melihat aku yang sebenarnya.
   Kemudian dia berkata: Pada malam semalam aku telah melihat Sayyiduna Rasulullah SAW dan bersabda baginda: Semua yang datang hadir solat jenazah ini pada esok hari akan diampunkan Allah Taala baginya dosa-dosanya.
   Telah berkata sheikh al A'rif Abdul Rahman bin Sirajuddin Bajamal: Aku sangat kagum daripada khabar tersebut dan aku sangat memuliakannya, dan aku berkata: Bagaimana boleh berlaku perkara ini dan ini merupakan suatu perhimpunan yang sangat ramai dan dalam perhimpunan ini ada di kalangan mereka ini orang-orang yang zalim dan fasiq? Maka aku melihat pada malam tersebut Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau merasa mulia dengan apa yang dikatakan oleh Muhammad Bahraq?? Aku menjawab: Ya, maka baginda bersabda: Ia adalah seperti apa yang dinyatakannya. (Berakhir kisah ini) 

Akan bersambung akan datang tentang sebab perpindahan sheikh ke bandar Shehr, Yaman dan seterusnya insyaAllah. Mohon doa para pembaca sekalian. 


Disediakan oleh:
Barisan Pentahqiq Dar Al Minhaj Publication
Diterjemahkan oleh:
Al-Faqeer Muhammad Hafeez bin Yusuf Al Habshi
Khadam Muslimin, Kaherah, Mesir.

25 MUHARRAM 1434H / 8 DISEMBER 2012



1 comment:

senorita_pika said...

smbungnye di mne ye?