"Bersama berkhidmat untuk ummah. '' Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat '' -al hadith-

Friday 29 March 2013

KEMUNCULAN MAZHAB-MAZHAB FIQH


  بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وصحبه ومن والاه واتبع هداه وبعد

     Telah berkembang pada zaman tabi'en dan zaman imam-imam mujtahid beberapa orang ulama besar, dan pada masa itu negara-negara Islam dipenuhi dengan ilmu dan ulama, dan sebahagian mereka (ulama) itu telah mencapai darjat mujtahid mutlak.


   Pada waktu itu, para ulama telah mengambil sistem atau manhaj untuk mengenal hukum-hakam dan setiap mereka itu ada anak-anak murid dan pengikut yang ramai yang terdidik dengan jalan guru mereka, dan sistem inilah yang dinamakan oleh ulama sebagai mazhab.



    Mazhab-mazhab fiqh yang kekal wujud sehingga ke hari ini terdiri daripada mazhab empat yang terkenal iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Shafi'e dan Hambali. Di sana terdapat sebahagian mazhab lain yang telah hilang pengikutnya seperti mazhab Laitg bin Sa'ad, Daud az Zohiri, Ibnu Jarir at Tobari, Ibnu Khuzaimah, dan Ishak bin Rahuyah.

   Orang-orang yang mengkaji mazhab-mazhab yang wujud sekarang ini mereka akan mendapati setiap mazhab itu mempunyai fiqh yang terbina yang bertaburan dalamnya penulisan-penulisan, kaedah-kaedah, usul-usul dan ulama-ulama dan asas setiap mazhab berbalik kepada pemilik mazhab dan pengasasnya.

    Pengasas-pengasas mazhab ini merupakan ulama besar yang telah dididik oleh para ulama yang sebelum mereka, dan mereka telah mengambil ilmu dari hafazan guru-guru mereka, dan mereka telah memahami dan mempelajari daripada warisan para anbiya. Tambahan pada waktu itu negara-negara Islam telah berkembang para ulama dan ilmu, dan telah terhimpun ilmu-ilmu Syari'at, golongan-golongan berakal dan cendiakawan, yang mempunyai jiwa yang suci, semangat dan kemahuan yang sangat tinggi, maka pada waktu itu ulama Syari'ah mempunyai kedudukan dan darjat yang sangat tinggi yang telah menjadi rujukan masyarakat Islam.

    Akal pemikiran para ulama cendekiawan pada masa itu telah terbuka dengan cahaya-cahaya wahyu yang datang daripada Al Quran dan As Sunnah, yang tidak terpisah dengannya kegelapan taqlid yang menghalang akal-akal pemikiran akan datang untuk mendalami nas-nas Al Qur'an dan As Sunnah, yang menjawab segala permasalahan, kejadian-kejadian dan isu-isu baru yang melanda orang-orang Islam pada waktu itu.

    Mereka para ulama cendekiawan telah diangkat darjat mereka itu dengan ajaran mereka yang dipetik daripada alam wahyu menjadi darjat yang sangat tinggi dan mulia, dan telah menyusun dan meletakkan kaedah dalam mazhab-mazhab mereka, dan meninggalkan kepada golongan selepas mereka tinggalan atau warisan ilmu yang sangat agung yang membantu golongan selepas mereka untuk mengetahui kebenaran dan membantu mereka untuk memahami nas.

    Al Imam Abu Shamah seorang pakar fiqh mazhab Shafi'e telah berkata: " Ulama mazhab Shafi'e telah membina mazhab Shafi'e dengan binaan yang sangat kukuh dan teratur, dan itu adalah kerana pegangan mereka dengan Al Quran dan Sunnah rasul SAW, serta pengamatan dan kajian yang betul dengan ijtihad yang berdasarkan kepada al Kitab dan as Sunnah, dan mentarjihkan mazhab-mazhab dengan Al Quran dan As Sunnah ", dan ulama-ulama telah menyusun mazhab-mazhab mereka dengan cara ini yang disebutkan oleh imam Abu Shamah.

Akan bersambung kupasan ini pada masa akan datang insyaAllah.

(Sumber: Kitab Dr Sulaiman Al Ashaqr al madkhal )

No comments: